Thursday, October 8, 2009

TIP PENULISAN KARANGAN UPSR

TIP PENULISAN KARANGAN (UPSR)

A. Apakah yang Perlu Dilakukan Sebelum Menulis Karangan?

1. Kamu hendaklah membaca dan memahami soalan yang diberikan.

2. Pastikan kamu memahami kehendak soalan, tajuk, dan bentuk karangan yang
hendak ditulis.

3. Kegagalan kamu memahami kehendak soalan, tajuk, dan bentuk karangan yang hendak ditulis
menyebabkan karangan kamu kekurangan isi dan mungkin akan terkeluar daripada tajuk.

4. Catatkan isi-isi penting yang hendak kamu tulis berdasarkan tajuk karangan.

5. Susun isi-isi penting tersebut mengikut keutamaanya; isi yang paling penting ditulis dahulu dikuti
dengan isi yang kurang penting.

B. Apakah yang Perlu Dilakukan Semasa Menulis Karangan?

Karangan yang baik mestilah ada tiga bahagian utama:
i. Pendahuluan
ii. Isi
iii. Penutup

i. Pendahuluan
1. Karangan kamu hendaklah dimulakan dengan pendahuluan dalam satu perengan sahaja.
2. Pendahuluan mestilah berkaitan dengan kehendak soalan dan ada daya penarik.
3. Perenggan pendahuluan adalah mencukupi dengan dua atau tiga baris ayat sahaja.
4. Jangan masukkan isi ke dalam perenggan pendahuluan.

ii. Isi
1. Bahagian isi adalah bahagian yang terpenting dalam sesuatu karangan
2. Menurut kehendak peperiksaan, karangan kamu haruslah mempunyai empat isi utama.
Setiap isi itu hendalah ditulis dalam satu perenggan yang berasingan.
3. Isi-isi penting haruslah diutamakan.
4. Kembangkan isi dalam bentuk perenggan dengan menggunakan ayat dan cerita yang
menarik.
5. Isi adalah bahagian yang paling penting dalam sesebuah karangan. Oleh sebab itu, isi karangan
kamu mestilah ditulis dengan bahasa yang menarik dan mudah difahami.
6. Isi-isi yang diceritakan haruslah berkaitan dengan soalan.
7. Jangan ceritakan isi-isi secara meleret-leret dan tidak dapat diterima oleh akal.

iii. Penutup
1. Setiap karangan haruslah mempunyai penutup
2. Penutup yang baik merupakan kesimpulan tentang apa yang telah kamu tuliskan sebelumnya.
3. Penutup juga tidak perlu ditulis dengan panjang lebar. dua atau tiga baris ayat sudah memadai
untuk menulis penutup.

C. Apakah yang Perlu Dilakukan Sesudah Menulis Karangan?

1. Semak dan baca semula karangan kamu setelah selesai menulisnya.
2. Pastikan tiada isi penting yang tertinggal.
3. Cari kesilapan yang mungkin ada seperti kesalahan tatabahasa, penggunaan perkataan, ejaan
dan tanda baca.
4. Betulkan setiap kesilapan tersebut.
5. Baiki tulisan yang buruk dan sukar dibaca

CIRI-CIRI KARANGAN YANG BAIK

1. Pemahaman terhadap tajuk mestilah tepat, iaitu segala keterangan dan penjelasan serta contoh
yang diberi mestilah tidak terkeluar daripada tajuk.

2. Setiap karangan mestilah mempunyai isi yang menepati maksud atau kehendak soalan. Sebuah
karangan yang baik dan menepati kehendak pemeriksa mesti mempunyai empat isi utama.

3. Pendahuluan sesebuah karangan mestilah sesuai dengan isi dan menepati tajuk serta dapat
menarik pembaca untuk membaca karangan itu sehingga selesai.

4. Isi karangan mestilah dikembangkan dengan baik. Isi yang mencukupi belum tentu dapat
menjadikan karangan kamu itu menarik sekiranya kamu tidak pada menghuraikan isi-isi
tersebut dengan baik.

5. Untuk bahagian penutup pula, kamu hendaklah menulis suatu kesimpulan yang kemas
tentang karangan yang telah kamu tuliskan itu.

6. Penggunaan tatabahasa yang betul dalam karangan dapat mempengaruhi markah karangan
kamu. Oleh itu, cara kamu membentuk ayat-ayat dalam karangan mestilah berpandukan
tatabahasa yang betul.

7. Karangan kamu hendaklah menggambarkan bahawa penulisnya mempunyai fikiran atau
pendapat yang matang.

8. Pengolahan karangan hendaklah menarik sehingga dapat memberi kesan di hati pembaca

CARA-CARA MEMJAWAB SOALAN KARANGAN

1. Pastikan kamu menerima kertas soalan yang betul, iaitu kertas Ujian Penulisan Bahasa
Malaysia.

2. Baca arahan pada kertas soalan dengan teliti.

3. Baca kesemua soalan dengan teliti dan fahamkan kehendak soalan.

4. Bagi soalan 1, pilih soalan yang hendak dijawab sama ada Soalan 1 (a) atau Soalan 1 (b)
manakala Soalan 2 pula merupakan soalan wajib yang mesti dijawab. Nombor soalan
hendaklah dituliskan di sudut kiri sebelah atas kertas jawapan.

5. Tulis karangan yang dapat kamu kuasai dengan baik terlebih dahulu. Soalan yang agak
sukar dikemudiankan.

6. Pastikan kehendak soalan.

7. Buat rangka dan susun isi secepat mungkin, seelok-eloknya ketika membaca soalan
kerana masa untuk menjawab satu soalan hanya 30 minit.

8. Setelah siap, semak dan betulkan kesalahan pada karangan jika masih ada masa untuk
berbuat demikian.

9. Pastikan pengawas peperiksaan mengambil kertas jawapan kamu.

10. Semua kertas jawapan perlu diikat dengan benang dibekalkan oleh pengawas.

No comments:

Post a Comment